Tuesday 20 September 2011

Syirik Bhg.2

Setelah kita sedar akan kesesatan rawatan pawang dan bomoh dan betapa bahayanya amalan-amalan syirik dalam kehidupan kita, maka sewajarnya kita berusaha menjauhi diri kita dari sebarang amalan tersebut. Sebagai seorang mukmin, kita sewajarnya berusaha atas landasan yang dibenarkan syariat. Lalu kita susuli dengan berdoa dan tetap melaksanakanketaatan serta menjauhi kemungkaran agar segala permintaan kita dimakbulkanNya. Kemudian bertawakkal dan berserah dirilah kepada Allah. Allah yang menentukan segala ketentuan baik dan buruk bagi setiap makhluk-Nya. Mereka yang melakukan amalan syirik sebenarnya telah jauh menyimpang dari akidah yang sebenar, juga telah menzalimi dirinya sendiri dengan mempersekutukan Allah. Akibatnya, mereka akan sentiasa diburu perasaan resah dan gelisah sebelum dicampakkan oleh Allah ke dalam neraka sebagai balasan terhadap dosa yang telah mereka lakukan. Firman Allah SWT dalam surah Al- Maidah ayat 72:

“Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al-
Masih Ibnu Maryam”. Pada hal Al-Masih sendiri berkata: “Wahai Bani Israel!,

sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang

menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka Allah pasti mengharamkan

kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka. Tiada seorang penolong

pun bagi orang yang zalim”.

Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadith daripada ‘Imran bin Hussain bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melihat gelang tembaga di tangan seseorang, lalu Baginda bertanya:

“Apakah ini?” Orang itu menjawab: “Tangkal pelemah untuk menundukkan
orang”. Lalu Rasulullah menegaskan: “Buanglah segera, kerana ia hanya

menambah kelemahan pada tubuhmu”. Maka sesungguhnya jika engkau mati

sedang engkau masih memakai tangkal itu nescaya engkau tidak akan mendapat

kejayaan selama-lamanya”.

Syirik Bhg.1

Akidah yang tepat dan diterima oleh Allah SWT adalah akidah yang berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah serta bersih dari segala pencemaran berupa syirik dan khurafat. Perlakuan syirik, amalan khurafat dan percaya kepada kuasa makhluk dalam memberi manfaaat dan mudharat inilah yang sering merosakkan akidah muslim yang lemah imannya, lalu mereka terjebak ke lembah kekufuran tanpa mereka sedari. Syirik membawa maksud mempersekutukan Allah,menerima dan meyakini bahawa sesuatu makhluk berkuasa dalam memberi kesan terhadap sesuatu perkara. Antaranya seperti memuja dan memohon pertolongan pada tempat tempat yang dianggap keramat, berjumpa bomoh dan pawang untuk tujuan rawatan, menilik nasib dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita agar menjauhi segala bentuk syirik kerana ia adalah antara dosa yang paling besar. Imam At-Tabrani meriwayatkan daripada Abdullah bin Anis Al-Jauhani bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Antara dosa-dosa besar itu ialah syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua
ibubapa
”.

Akidah yang sejahtera adalah asas agama. Atas kepentingan inilah Rasulullah s.a.w. memperuntukkan masa selama 13 tahun bagi usaha dakwah Baginda di Mekah untuk memastikan akidah umatnya benar-benar selamat dan tepat. Justeru, sebagai umat Islam, kita seharusnya sedar hakikat kepentingan memelihara akidah agar terus kukuh dan subur dengan iman dan takwa. Antara perkara syirik yang telah sekian lama menjadi amalan di kalangan masyarakat Islam di Nusantara ialah mempercayai pawang dan bomoh dalam rawatan. Kebanyakan bomoh dan pawang ini merawat menggunakan jampi serapah, mantera dan tangkal dengan bantuan jin dan sebagainya. Bomoh dan pesakit yang percaya kepada tangkal boleh menyembuhkan penyakit dan menyempurnakan hajat mereka adalah perbuatan mensyirikkan Allah SWT. Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa semua perkara ini adalah amalan syirik yang menyesatkan pengamalnya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya tangkal, azimat dan guna-guna itu adalah syirik”.

Larangan keras ini sewajarnya dipandang serius oleh umat Islam kerana ia membawa kepada kekufuran. Sebenarnya kepercayaan dan pergantungan manusia pada amalan seumpama ini adalah amalan yang telah berlaku sejak sekian lama. Walaupun sudah terbukti bahawa ianya tidak memberi manfaat atau mudharat secara nyata, namun masih ramai manusia tetap meyakininya. Semenjak zaman jahiliyyah lagi amalan syirik dilakukan secara meluas di kalangan umat Arab dan Rasulullah berusaha gigih menghapuskannya. Hadith riwayat Imam Ahmad daripada ‘Uqbah bin Amir menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa menggantungkan azimat (tangkal) maka Allah tidak
menyempurnakan kehendaknya dan sesiapa menggantung “wada’ah” (sebagai

tangkal), maka Allah tidak memberikan perlindungan kepadanya”.

Assalamualiakum

seorang Hamba ALLAH yg dilahirkan pada 6jun di HOPSITAL DUCHESS OF KENT. Nama diberi MOHAMMAD ZAINEY BIN ROSLAN,anak bongsu daripada 4 org adik-beradik..masih menuntut ILMU DUNIA & AKHIRAT di KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR(KUIS) dalam jurusan PERBANKAN ISLAM..