Tuesday 20 September 2011

Syirik Bhg.1

Akidah yang tepat dan diterima oleh Allah SWT adalah akidah yang berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah serta bersih dari segala pencemaran berupa syirik dan khurafat. Perlakuan syirik, amalan khurafat dan percaya kepada kuasa makhluk dalam memberi manfaaat dan mudharat inilah yang sering merosakkan akidah muslim yang lemah imannya, lalu mereka terjebak ke lembah kekufuran tanpa mereka sedari. Syirik membawa maksud mempersekutukan Allah,menerima dan meyakini bahawa sesuatu makhluk berkuasa dalam memberi kesan terhadap sesuatu perkara. Antaranya seperti memuja dan memohon pertolongan pada tempat tempat yang dianggap keramat, berjumpa bomoh dan pawang untuk tujuan rawatan, menilik nasib dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita agar menjauhi segala bentuk syirik kerana ia adalah antara dosa yang paling besar. Imam At-Tabrani meriwayatkan daripada Abdullah bin Anis Al-Jauhani bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Antara dosa-dosa besar itu ialah syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua
ibubapa
”.

Akidah yang sejahtera adalah asas agama. Atas kepentingan inilah Rasulullah s.a.w. memperuntukkan masa selama 13 tahun bagi usaha dakwah Baginda di Mekah untuk memastikan akidah umatnya benar-benar selamat dan tepat. Justeru, sebagai umat Islam, kita seharusnya sedar hakikat kepentingan memelihara akidah agar terus kukuh dan subur dengan iman dan takwa. Antara perkara syirik yang telah sekian lama menjadi amalan di kalangan masyarakat Islam di Nusantara ialah mempercayai pawang dan bomoh dalam rawatan. Kebanyakan bomoh dan pawang ini merawat menggunakan jampi serapah, mantera dan tangkal dengan bantuan jin dan sebagainya. Bomoh dan pesakit yang percaya kepada tangkal boleh menyembuhkan penyakit dan menyempurnakan hajat mereka adalah perbuatan mensyirikkan Allah SWT. Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa semua perkara ini adalah amalan syirik yang menyesatkan pengamalnya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud bahawa Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya tangkal, azimat dan guna-guna itu adalah syirik”.

Larangan keras ini sewajarnya dipandang serius oleh umat Islam kerana ia membawa kepada kekufuran. Sebenarnya kepercayaan dan pergantungan manusia pada amalan seumpama ini adalah amalan yang telah berlaku sejak sekian lama. Walaupun sudah terbukti bahawa ianya tidak memberi manfaat atau mudharat secara nyata, namun masih ramai manusia tetap meyakininya. Semenjak zaman jahiliyyah lagi amalan syirik dilakukan secara meluas di kalangan umat Arab dan Rasulullah berusaha gigih menghapuskannya. Hadith riwayat Imam Ahmad daripada ‘Uqbah bin Amir menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa menggantungkan azimat (tangkal) maka Allah tidak
menyempurnakan kehendaknya dan sesiapa menggantung “wada’ah” (sebagai

tangkal), maka Allah tidak memberikan perlindungan kepadanya”.

No comments:

Post a Comment